Penyakit COPD ini adalah penyekatan nafas yang berterusan, boleh disertai dengan Emphysema, bronkitis kronik atau kedua-duanya sekali. Penyakit ini boleh dikatakan ramai yang menghidapnya dan adakalanya mereka tidak menyedarinya. Ia juga merupakan penyakit ke-2 selepas penyakit jantung yang menyebabkan pesakit atau individu terbabit tidak boleh bekerja dan ia juga merupakan punca kematian yang ke-4. Kematian yang disebabkan oleh COPD paling ramai dikalangan orang-orang tua sekitar 60 tahun ke atas. COPD juga lebih banyak berlaku pada kaum lelaki berbanding perempuan.
- Merokok adalah punca yang utama bagi penyakit ini.
- Pesakit akan batuk-batuk kemudian nafas menjadi pendek.
- Pemeriksaan dilakukan melalui imbasan X-ray dan juga ujian fungsi paru-paru.
- Adalah penting bagi pesakit untuk berhenti merokok dan mengambil ubat-ubatan yang membantu pernafasan.
- Mereka yang menghidap penyakit yang serius mungkin perlu mengambil ubat lain, penggunaan oksigen dan lain-lain.
COPD boleh membawa kepada penyekatan aliran nafas yang kronik, dan mengurangkan kadar keluar masuk udara dalam paru-paru ketika seseorang itu bernafas terutamanya ketika hendak menghembus nafas keluar. Pemeriksaan untuk mengesan COPD biasanya disertai dengan pemeriksaan penyekatan bronkitis kronik (Chronic obstructive bronchitis) dan juga Emphysema. Ramai individu yang menghidap kedua-duanya sekali. Bronkitis kronik adalah penyakit batuk yang menghasilkan sputum (kahak) berterusan untuk jangkamasa yang lama. Apabila bronkitis kronik ini terlibat dalam menyekat aliran nafas, ia digelar sebagai penyekatan bronkitis kronik (Chronic obstructive bronchitis).
Emphysema pula adalah penyakit dimana berlakunya pemusnahan pada dinding alveolar (iaitu sel yang menyokong kantung udara atau alveoli) dan pembesaran kebanyakkan alveoli.
Bronkiol (salur udara kecil) pada paru-paru adalah terdiri daripada otot lembut yang bersambung dengan dinding alveolar. Didalam kes Emphysema, ia mengakibatkan kemusnahan pada dinding alveolar dan menyebabkan bronkiol terjatuh, seterusnya aliran nafas tersekat. Bagi bronkitis kronik pula, kelenjar yang melapisi salur udara besar (bronchi) menjadi besar dan penghasilan mukus pula bertambah. inflamasi atau radang pada bronkiol boleh mengakibatkan otot lembut mengecut (Spasma) dan seterusnya menyekat aliran nafas. Inflamasi juga menyebabkan aliran nafas disekat oleh seksresi (mukus) yang dihasilkan.
Penyekatan aliran nafas dalam COPD menyebabkan udara terperangkap didalam paru-paru selepas menarik nafas panjang, dan menyebabkan seseorang itu perlu menambah daya untuk bernafas. Disamping itu juga, COPD menyebabkan jumlah kapilari dalam dinding alveoli semakin berkurangan. Keganjilan ini menyebabkan fungsi pertukaran antara oksigen dan karbon dioksida diantara alveoli dan darah terjejas. Pada tahap awal COPD, kadar oksigen dalam darah mungkin menurun, tetapi karbon dioksida masih normal, tetapi apabila COPD berlarutan, kadar karbon dioksida akan meningkat manakala oksigen pula yang menurun.
Penurunan dalam kadar oksigen dalam darah akan menghasilkan rangsangan pada tulang sum-sum supaya menghantar lebih banyak sel darah merah ke dalam aliran darah, keadaan ini dikenali sebagai “secondary polycythemia”. Penurunan kadar oksigen dalam darah juga akan mengakibatkan tekanan di dalam arteri meningkat terutamanya pada arteri yang menghubungkan jantung dengan paru-paru (arteri pulmonari). Hasil daripada peningkatan tekanan tersebut boleh menyebabkan berlakunya “pulmonary hypertension” (tekanan darah tinggi pulmonari) dan cor pulmonale. Selain daripada itu, mereka yang menghidap COPD akan mendapat risiko yang tinggi dalam pembentukkan rentak jantung yang tidak normal (aritmia). Bagi perokok pula, risiko untuk mendapat kanser paru-paru adalah lebih tinggi.
Punca
- Merokok, menghisap paip atau curut.
- Faktor usia terutamanya bagi mereka yang telah lama merokok.
- Faktor keturunan, iaitu keadaan dimana individu terbabit mempunyai masalah kekurangan sejenis protein yang dikenali sebagai Alpha1-Antitrypsin. Protein ini berfungsi sebagai penghalang sejenis enzim yang terdapat disesetangah sel darah putih yang dikenali sebagai Neutrophil elastase daripada memusnahkan alveoli. Namun kes ini adalah jarang.
- Faktor persekitaran yang tercemar seperti asap kilang, habuk, asap rokok dan sebagainya.
- Faktor tempat kerja yang mungkin udaranya tercemar, penggunaan bahan-bahan kimia dan sebagainya.
- Bahan-bahan alergen.
Gejala
- Batuk berkahak, pada tahap awal COPD kahak adalah bewarna jernih. Batuk-batuk diawal pagi ketika bangun tidur.
- Batuk dan kahak seterusnya bertambah.
- Warna kahak bertukar dari warna jernih atau putih kepada kuning ayau hijau.
- Nafas menjadi pendek atau sesak nafas. Kadang-kadang gejala nafas ini muncul apabila berlakunya jangkitan pada paru-paru. Semakin buruk bila individu terbabit batuk.
- Berat badan menurun- apabila masalah pernafasan menyebabkan makan menjadi sukar atau disebabkan oleh peningkatan kadar faktor tumor necrosis di dalam darah.
- Pembengkakkan kaki- kemungkinan disebabkan oleh Cor pulmonale.
- Batuk berdarah- kemungkinan disebabkan oleh radang pada bronchi, juga boleh disebabkan oleh kanser paru-paru.
- Sakit kepala pada waktu pagi- disebabkan oleh pernafasan berkurangan ketika tidur hingga mengakibatkan kadar karbon dioksida meningkat.
- Bagi pesakit COPD yang turut mempunyai Emphysema, corak pernafasan akan berubah dan adakalanya terpaksa bernafas melalui mulut dan sentiasa ingin membetulkan posisi atau postur badan mereka agar membantu membaiki pernafasan.
- Dada mengembang atau membesar- ia disebabkan oleh saiz paru-paru yang membesar akibat daripada banyak udara terperangkap didalamnya.
- Perubahan warna kulit, kebiruan (Cyanosis)- apabila kadar oksigen dalam darah menurun.
- Perubahan pada bentuk jari (Clubbing of the fingers) namun ia jarang berlaku. Gejala ini juga boleh menandakan berlakunya kanser paru-paru.
- Pneumothorax, iaitu keadaan dimana udara telah bocor dari paru-paru kedalam ruang pleural.
- Pesakit menjadi resah dan bimbang
- Berpeluh-peluh
- Fikiran menjadi keliru.
Apabila individu yang menghidap COPD masih merokok walaupun usianya telah lanjut, masalah sesak nafasnya akan menjadi lebih buruk dan merbahaya. Pneumonia dan lain-lain jangkitan paru-paru akan kerap berlaku. Apabila keadaan menjadi lebih buruk, gejala sesak nafas boleh sahaja berlaku ketika individu itu sedang berehat dan mungkin memerlukan rawatan di hospital dengan segera. COPD juga boleh menyerang secara tiba-tiba dan memerlukan pesakit mendapatkan rawatan dengan segara kerana ia boleh membawa maut
Pemeriksaan (diagnosis)
Pemeriksaan untuk COPD biasanya akan dijalankan dengan ujian mengesan bronkitis kronik dan Emphysema. Ini adalah kerana terdapat individu yang menghidap penyakit ini sekali. Perkara yang penting dalam pemeriksaan ini bukanlah untuk membezakan antara bronkitis kronik dengan Emphysema, tetapi tujuannya adalah untuk memastikan bagaimana pesakit rasa dan sejauh mana fungsi sistem pernafasannya terjejas akibat penyakit ini.
- Bronkitis kronik dikesan melalui sejarah atau tempoh berapa lama pesakit telah batuk dan juga penghasilan kahak.
- Pesakit yang menghidap penyekatan bronkitis kronik pula akan diperiksa melalui ujian fungsi pulmonari.
- Emphysema diuji bedasarkan ujiaan fizikal dan ketika ujian fungsi pulmonari.
- Imbasan X-ray- dilakukan apabila COPD bertambah buruk. Melalui imbasan ini, akan kelihatan imej pengembungan paru-paru. Jika terdapat penipisan saluran darah maka kemungkinan pesakit mempunyai Emphysema.
- Ujian darah untuk mengesan keganjilan atau peningkatan kadar sel darah merah (polycythemia) dan juga kadar karbon dioksida dan oksigen dalam darah.
- Ujian darah untuk menguji jumlah protein Alpha1-Antitrypsin dalam darah.
Rawatan
- Berhenti merokok- ia boleh membantu memperbaiki pernafasan dan mempunyai pelbagai lagi faedah yang baik. Terdapat pelbagai cara untuk berhenti merokok, namun yang paling utama adalah seseorang itu perlu berdisplin.
- Mencegah dan mengelakkan bahan-bahan yang boleh menyebabkan iritasi seperti bahan-bahan alergen, udara tercemar, asap rokok dan sebagainya.
- Mendapatkan suntikan vaksin- influenza boleh memburukkan lagi COPD, oleh itu disarankan untuk mendapatkan suntikan vaksin influenza setiap tahun dan juga vaksin pneumococcal untuk 5 atau 6 tahun.
- Menggunakan bronkodilator iaitu ubat yang disedut melalui mulut. (sama seperti rawatan penyakit asma).
- Kortikosteroid – terdapat dalam pelbagai bentuk seperti dalam bentuk makan atau bentuk suntikan. Juga terdapat ubat-ubat lain yang diberi mengikut keadaan dan tahap penyakit.
- Antibiotik.
- Terapi oksigen.
- Program pemulihan pulmonary.
- Pembedahan pemindahan paru-paru atau pembuangan kawasan paru-paru yang terjejas.
No comments:
Post a Comment
Maaf jika pertanyaan anda lambat atau tidak dijawab. Jika jawapan anda lambat dijawab boleh menghantar SMS pada saya di:
019- 455 1206 Dr(H) Abu Hurairah atau email abuhurairah2412@gmail.com